07 May 2012

Bila Anak Belum Pandai Membaca

1. Jangan Rasa Tertekan
Perkara pertama yang perlu lakukan adalah relaks. Jika anak anda dapat merasakan kerisauan anda, dia juga akan merasa tertekan dan ini akan melambatkan proses dia belajar membaca. Lebih penting lagi, dia akan belajar membaca bukan kerana suka tetapi terpaksa. Anak akan cuba sedaya-upayanya, memaksa dirinya membaca untuk melegakan tekanan. Sekiranya dia masih tidak dapat membaca, dia mungkin akan rasa dirinya telah gagal dan mengecewakan ibunya. Dengan itu, ibu (maupun ayah) harus tenang. Ingatlah,masih ada ruang serta masa untuk membentuk kemampuannya.

2. Hargai Keistimewaannya
Setiap anak adalah istimewa. Elakkan daripada membezakan dia dengan kakak atau abangnya atau kawannya. Setiap anak mempunyai kemampuannya sendiri yang harus dihormati dan dikagumi. Membandingkan dia dengan yang lain hanya akan merendahkan maruah dirinya dan ini akan meninggalkan kesan negatif.

3. Kaitkan Dengan Minat
Teruskan mengadakan sesi bacaan dengan anak setiap hari tetapi pastikan bahan bacaannya menarik. Anak berusia 6 tahun sudah mempunyai citarasa serta kecenderungannya sendiri. Jika anak meminati bola sepak atau Ultraman, mempelajari perkataan tentang subjek-subjek kegemarannya ini adalah lebih bermakna baginya daripada membaca buku seperti “Peter and Jane”. Dengan itu tiada halangan untuk ibu atau guru menggunakan perkataan seperti Ultraman serta nama-nama pemain bola contohnya untuk menarik minatnya agar membaca. Adakalanya menghasilkan ayat yang mengandungi ciri-ciri yang digemarinya akan menyebabkan dia rasa teruja contohnya : “ Fahry menolong Ultraman melawan raksasa”. Bila anak suka dan merasa ada keperluan untuk membaca, dia akan berusaha gigih agar boleh membaca.

4. Lakukan dengan konsisten dengan penuh keseronokan.
Teruskan usaha menjalankan aktiviti membaca di rumah secara konsisten tetapi pada masa yang sama gunakan strategi yang berbeza untuk mencetuskan minat. Sesetengah anak harus diperlihatkan kenapa penting dia boleh serta suka membaca

a) Anda boleh melabelkan objek di rumah untuk dibaca bersama-sama. Selepas seminggu, ubah kedudukan label dan minta anak kesan kesilapan serta perbetulkan.
b) Sediakan satu kotak khas yang anda telah hiasi dengan cantil. Tuliskan serta nyatakan pada anak bahawa itu adalah kotak “ I can read” . Minta anak sebutkan perkataan yang disukai, tulis dan baca. Nyatakan pada anak dia kini sudah mengenali perkataan tersebut serta simpan dalam kotak. Hari berikutnya, minta anak nyatakan perkataan baru untuk kotak, tulis serta baca. Ulang baca perkataan pertama. Jika anak kelihatan seolah-olah telah lupa, jangan risau. Dengan tenang ulang baca perkataan tersebut.
c) Reka kad ala bingo menggunakan perkataan yang diminatinya.
d) Gunakan kad-kad imbasan lamanya untuk membuat ayat. Pastikan perkataan-perkataan yang digemarinya juga digunakan.
e) Susun kad-kad imbasan untuk menjadi ayat yang tidak lengkap. Mohon pertolongan anak untuk melengkapkan ayat.
f) Baca buku-buku yang melucukan atau buku-buku yang mempunyai rima atau perkataan yang diulang-ulang. Ramai anak suka membaca buku yang melucukan dan akan ingat perkataan-perkataan tertentu yang di anggap lucu.
g) Atau beli buku mewarna subjek kegemarannya. Hasilkan ayat berdasarkan gambar dalam buku dan jadikan dia buku baru dengan menggunakan kertas lukisan. Tunjuk dan baca bersama anak. Anak juga boleh diminta mewarnakan gambar-gambar tersebut. Atau ajak anak merangka ayat bersama-sama dan ibu boleh menulis untuknya jika dia belum mahir menulis.
h) Dorong anak melukis serta menceritakan apa yang ditulis. Ibu boleh menulis apa yang diceritakan. Atau jika anak sudah boleh menulis, bimbing dia menulis apa yang diceritakan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...