01 June 2012

Ameera "Demi Zuriat Sebuah Perjanjian Termeterai"


Sinopsis drama Ameera TV3 - Slot Samarinda

Mengisahkan kehidupan Ameera dan Ameer yang bahagia melayari bahtera rumah tangga selama 4 tahun walaupun masih belum dikurniakan anak. Mereka menguruskan sebuah syarikat perabot mewah bersama dan hidup dalam keadaan yang mewah. Namun, mereka tertekan apabila ibu Ameer, Puan Suraya selalu mendesak supaya Ameer berkahwin dengan Marisha kerana Ameera tidak dapat melahirkan anak. Ameera mahu Ameer menurut kemahuan ibunya tetapi Ameer masih menaruh harapan yang Ameera boleh mengandung pada suatu hari nanti.

Apabila Ameera disahkan mandul, dunia bagaikan sudah berakhir baginya. Ameer masih enggan mengahwini Marisha yang menjadi pilihan ibunya. Ameera mencadangkan mereka mengambil anak angkat tetapi Ameer juga keberatan. Puan Suraya semakin mendesak kerana dia inginkan zuriat Ameer untuk mewarisi perniagaan keluarga.


Ameera buntu memikirkan cara penyelesaian akhirnya dia mencadangkan Ameer supaya mengahwini seseorang untuk mendapatkan anak dan menceraikannya selepas melahirkan anak. Ameer menganggap Ameera bergurau dan tidak mengendahkannya sehingga seorang gadis kampung miskin, Zila muncul dalam kehidupan mereka.

Zila telah mengikut kekasihnya, Faruk yang dikenali sejak zaman sekolah ke bandar untuk mencari pekerjaan. Ibunya, Mak Yah sakit sementara 3 orang adiknya masih belajar. Zila melarikan diri dan bersembunyi di dalam kereta Ameera kerana Faruk mahu menjualnya kepada sindiket pelacuran. Melihat keadaan Zila yang panik dan wajah Faruk yang bengis dan marah, Ameera segera memandu pergi dan terpaksa membawa pulang Zila.

Selepas mendengar cerita Zila, Ameera menganggap Zila sebagai calon yang paling sesuai untuk menjadi isteri kepada Ameer. Ameera menawarkan upah RM350,000 kepada Zila. Pada mulanya Zila enggan kerana tidak mahu mengandung tetapi akhirnya dia mengalah kerana wang tersebut mampu untuk menampung keperluan keluarganya.


Ameer pada mulanya membantah kerana masih menaruh harapan yang Ameera boleh mengandung. Ameera merayu kepada Ameer agar menerima cadangannya untuk berkahwin dengan Zila. Akhirnya Ameer bersetuju.

Ameer dan Zila bernikah secara rahsia. Zila hanya menikmati malam perkahwinannya selama satu malam sahaja kerana itu syarat yang dikenakan Ameera dan atas permintaan Ameer juga. Dalam perjanjian yang ditandatangani oleh Zila, dia akan diceraikan selepas mengandung dan melahirkan anak Ameer.

Zila yang pada mulanya tidak kisah dengan status isteri sementara telah jatuh cinta kepada Ameer. Dia bukan sahaja cemburu terhadap Ameera malah dia juga mahu merampas Ameer daripadanya. Ameer telah memberi perhatian lebih kepada Zila setelah dia disahkan mengandung.

Adakah cadangan Ameera untuk mendapatkan zuriat Ameer daripada perkahwinan tersebut akan memakan diri? Bagaimana pula dengan nasib Zila selepas melahirkan anak? Berjayakah Zila melepaskan diri daripada cengkaman Faruk?
Pelakon utama : Rita Rudaini sebagai Ameera dan Syamsul Dato’ Yusof sebagai Ameer

 pelakon drama ameera sinopsis drama ameera tv3

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...