SELURUH teman dan keluarga terdekat yang menyaksikan pengabdian Siti
Nurhaliza terhadap suaminya ketika ia sakit, pasti rasa terharu. Dan
momen di mana Datuk K mengucapkan 'syurgalah tempat Siti Nurhaliza,'
kepada sebahagian besar teman yang datang melawatnya di hospital sebelum
ini, seperti dekat kebenarannya.
Derita suami, turut dirasai pelantun Lebih Indah yang
mengambil cuti panjang daripada aktiviti seninya. Bergegas terbang ke
New Zealand, meninggalkan konsert di Banjarmasin, Jakarta, itu bukan
satu-satunya pengorbanan Siti.
Selama suami di katil hospital, di situ jugalah dia tidur, makan
minum dan mandi manda. Dia pernah hanya tidur beberapa minit dalam
jangkamasa 24 jam, demi memastikan tidak terlepas pandang si suami,
takut-takut ada kehendak yang tidak dapat disediakan.
Memandikan, menyuap makan-minum malah membasuh hajat kecil dan besar
Datuk K juga, Sitilah yang melakukannya dengan penuh ikhlas. Status
divanya terbuang sama sekali ke tepi, saat itu. Tiada khidmat jururawat
peribadi digunakan sepanjang proses penyembuhan Datuk K, keputusan itu
dibuat oleh Siti sendiri.
Malah kata anak kedua Datuk K, Adib Khalid, 23, memberitahu, dia dan
adik-adiknya menjadi bertambah sayang melihat pengorbanan 'Mak Iti',
kala Datuk K sakit.
"Satu minit sekalipun dia tidak meninggalkan ayah. Sewaktu di New
Zealand, saya dan keluarga lain ada juga pulang ke hotel penginapan,
bertukar baju dan berehat. Tetapi Mak Iti tetap di samping ayah. Memang
terharu sebab kami tahu, dia sangat menyayangi ayah dalam apa juga
keadaan ayah," kata Adib yang juga produser album muda.
Sementara Mohammad Asyraf, 22, si anak ketiga juga mengangguk dan
menambah: "Kami sangat tersentuh. Orang sakit macam ayah akan banyak
'kerenahnya'. Hairan juga bila Mak Iti melayan dengan penuh sabar. Bukan
semua isteri boleh buat seperti apa yang Mak Iti lakukan kepada ayah,"
katanya bersungguh-sungguh.
Sementara Siti pula, menganggap ia adalah pengorbanan yang biasa bagi
mana-mana isteri sekalipun kala 'belahan jiwa' mereka terlibat dengan
tragedi ngeri sebegini.
Apa yang paling penting, kata penyanyi nombor satu negara ini, inilah
makna 'kasih sayang' dan cinta dalam erti kata yang sebenar-benarnya.
"Kita selalu bercakap tentang cinta dan sayang. Bagaimanakah
bendanya? Inilah dia makna cinta dan kasih sayang yang sebenar. Apabila
insan yang kita sayang jatuh sakit atau ditimpa bencana, di situlah
ujian kasih sayang kita yang sebenarnya.
"Jika sihat dia boleh menjaga kita dengan baik, pada ketika dia sakit
inilah, pengorbanan kita diperlukan. Saya tidak anggap kejadian
kemalangan suami sebagai dugaan, tetapi ujian kesetiaan yang mengeratkan
lagi kasih sayang kami suami isteri. Selepas insiden itu, kasih sayang
kami sebagai suami isteri juga bertambah," kata Siti.
Pada ketika saat pertama mengetahui suami diduga sebegitu, apa yang
Siti lakukan? Menangiskah dia, meraungkah dia atau hanya memendam di
dalam hati?
"Perkara utama yang Siti buat ialah kuatkan hati, tabahkan diri
terlebih dahulu. Siti set dalam minda, perlu tunjuk kuat dengan suami
supaya dia tidak terus lemah. Saya ibarat menjaga 'baby besar'.
"Tidak sangka, selepas enam bulan, dia sudah boleh berjalan-jalan dan
kembali normal macam biasa. Dia memang kuat," kata Siti lagi.
Tidak dinafikan, ketika suaminya jatuh sakit, kata Siti dia sangat
takut untuk menghadapi kehilangan. Tetapi perasaan itu dibuang jauh-jauh
kala di depan Datuk K.
"Suami yang Siti kenali seorang yang sangat kuat semangat. Apa yang
dia hendak, dia akan usahakan dan mesti dapat. Tetapi bila melihat dia
lemah, terlantar tidak berdaya, hati isteri mana yang tidak sedihkan?
Tetapi akhirnya, dia membuktikan kekuatan semangatnya itu dengan sembuh
lebih cepat. Siti sangat bersyukur dan berasa ini semua adalah keajaiban
yang Tuhan berikan kepada kami sekeluarga," katanya.
Sebelum saya dan team jurugambar pulang, pada ketika malam menyambut
Ramadan yang pertama itu, Siti sempat membisikan ke telinga: "Siti tidak
pernah kesal mengahwininya. Sungguh!"
Lalu kami simpulkan, inilah sebuah kisah 'cinta abadi' yang masih hidup di depan mata.
No comments:
Post a Comment