17 July 2013

Nyawa Kedua Datuk K


Dalam keadaan terlentang kesakitan, tengkuk disokong pendakap leher, kaki tangan berbalut simen sana sini, saya boleh nampak kesan jahitan panjang yang menghuni pada beberapa anggota badannya. Di sebalik wajah menahan sakit, lelaki yang dikenali segak bergaya setiap kali berdiri di sisi 'si jantung hati Malaysia', Siti Nurhaliza ini masih sempat tersenyum mesra.
Episod rasa terkejut saya itu berlaku di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur selepas dua minggu Datuk K dibawa pulang ke Kuala Lumpur menaiki pesawat peribadi ekoran kemalangan yang menimpanya di Queenstown, New Zealand pada detik yang seumur hidup tidak mungkin dilupa - 13 Disember 2012.
Ketika itu Datuk K bersama seorang sahabat yang dikenali sebagai Cikgu Syamsuri dan seorang pemandu pelancong berbangsa Inggeris dalam perjalanan bermotosikal di Queenstown.
Mereka menaiki motosikal berkuasa besar, melalui kawasan berbukit dan curam di kiri kanan jalan yang sempit di pendalaman daerah tersebut.
Ketika melalui sebuah kawasan ladang kambing,sekitar pukul 4 petang, motosikal Datuk K tersasar lalu terlanggar pagar ladang itu. Dia terjatuh lalu tersembam di bahu jalan.
Banyak yang barangkali tidak tahu, kesan daripada kecederaan itu sangat parah sebenarnya, Datuk K dalam keadaan kritikal. Dan ini pertama kali, cerita benar yang keluar daripada bibir empunya diri, selepas tujuh bulan kejadian ngeri itu berlalu.
Menurut Datuk K, sejurus selepas kemalangan, beliau pengsan dan hanya kemudian tersedar kala kalimah azan di laungkan ke telinganya oleh cikgu Syamsuri.
"Ketika tersedar, saya sudah berada di atas ribanya. Saya dengar suara dia, 'Datuk kemalangan, mengucap Datuk, mengucap', Itu sahaja dan saya tiba-tiba menjadi sangat takut.
"Dalam keadaan cemas, tiada kenderaan lalu-lalang langsung, saya fikir barangkali saat untuk saya menemui Allah sudah pun hampir. Beberapa anggota badan terkulai, mulut berdarah, saya fikir saya akan mati di negara orang.
"Saya menangis, saya berasa diri sangat kerdil dan semua yang saya punya akan hilang sekelip mata," cerita Datuk K dalam nada sangat perlahan, tertahan-tahan.
Lelaki dengan empat zuriat ini kemudian menyambung bicaranya.
"Kuasa Allah, kesedihan saya hanya seketika. Dalam kesakitan yang teramat itu, saya tiba-tiba mendapat semangat luar biasa. Saya kata kepada diri, aku perlu hidup untuk orang yang saya sayang.
"Anak-anak masih lemah, masih memerlukan saya sebagai ketua keluarga. Dan perkahwinan dengan isteri yang baru berusia enam tahun, banyak yang perlu saya selesaikan demi masa depannya. Begitu juga dengan ibu saya yang semakin tua, saya tidak boleh tinggalkan mereka ketika ini.
"Itu yang bermain-main di fikiran dan saya tiba-tiba membisikkan kepada diri sendiri - Jangan mengalah Khalid, jangan mengalah. Engkau perlu terus hidup," katanya.
Dalam kesakitan, darah merah membasah seluruh muka dan memercik di sana-sini ke anggota badan, terfikir juga di benak, apakah dia akan terus lumpuh atau mengalami kecacatan di beberapa bahagian utama badan?

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...