10 November 2011

Kasihan Mama

Assalamualaikum

            Nama saya Wan Lydiawati. Saya baru sahaja pulang ke tanah air tercinta setelah empat tahun dipenjara di negara asing. Saya telah menghabiskan masa muda saya selama empat tahun, hidup dalam kurungan penjara di Trinidad & Tobago. Pada ketika itu, usia saya baru sahaja mencecah 21 tahun. Baru saya sedar erti sebenar kehidupan tapi apa kan daya, nasi sudah menjadi bubur.  Saya redha serta menerima apa yang telah terjadi ke atas diri saya.

            Selama ini, saya hanya ambil ringan tentang semua perkara. Kata-kata mama selalu saya tak hiraukan, apatah lagi bila ada kawan memberi sepenuh perhatian dan membantu saya dalam kos pembelajaran serta duit poket.  Saya lupa akan nasihat mama supaya berjaga-jaga dalam memilih kawan dan juga jangan termakan budi orang. Disebabkan jiwa remaja dan menganggap diri ini sudah cukup matang untuk membuat keputusan sendiri, saya telah menerima pelawaan rakan untuk ke luar negara tanpa pengetahuan mama. Sepatutnya saya perlu meminta izin daripada mama dahulu, sebelum membuat apa-apa keputusan .

             Tanpa mengetahui asal usul rakan saya yang dikenali sebagai Kak S (bukan nama sebenar) saya menerima tawaran Kak S untuk bercuti ke luar negara.  Pada ketika itu, yang hanya ada di fikiran saya adalah rasa teruja dengan kemewahan yang telah diberikan oleh rakan saya tanpa rasa curiga.

             Semasa saya berada di luar negara, saya amat terkejut apabila pegawai imigresen dan polis datang ke arah saya dan meminta untuk memeriksa bagasi saya sejurus selepas saya menerima panggilan daripada Kak S.  Mereka memaklumkan bahawa terdapat dadah dalam bagasi saya. Pada masa itu, saya tergamam dan terkedu.  Apa yang boleh saya lakukan selain hanya bertawakal.  Atas kehendak takdir juga, saya telah ditahan atas tuduhan memiliki dadah jenis kokain seberat 2.2 kg.

             Ketika itulah, saya sedar bahawa saya telah dipergunakan oleh Kak S dan telah menjadi mangsa sindiket `Keldai Dadah Antarabangsa’. Saya tidak dapat berbuat apa-apa pada masa itu.  Hanya terbayang wajah mama dan kata-kata mama bermain di telinga. Saya akur dengan semua yang terjadi ke atas diri saya. Pada saat itu, saya rasa seperti tidak mahu hidup lagi, saya rasa terlalu takut sehingga seakan tidak mampu untuk mengerakkan tubuh badan saya. Saya telah membuat mama risau dan menangis. Kasihan mama.  Ampunkan along, ma.
              
                                
UNTUK MENGETAHUI EPISOD MENGHARUKAN MENGENAI RANJAU HIDUP WAN LIDYAWATI, JANGAN LUPA SAKSIKAN SECARA LANGSUNG ”APA KATA WANITA” DI TV1, RTM PADA AHAD, 13 NOVEMBER 2011, JAM 3.00 PETANG. 

SIARAN ULANGAN PADA JUMAAT BERIKUTNYA JAM 2.00 PETANG.

TURUT DIUNDANG SEBAGAI TETAMU KHAS DALAM PROGRAM TERSEBUT IALAH YB SENATOR A. KOHILAN PILLAY, TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI, MALAYSIA.

SAKSIKAN BERSAMA-SAMA KELUARGA PENGAJARAN DAN IKTIBAR DARIPADA PENGALAMAN SEORANG GADIS PERIANG YANG MENJADI MANGSA SINDIKET KELDAI DADAH INI.

copy from my emel.

1 comment:

  1. sedang menonton,. kesian dia, tapi pengalaman dan pengajaran mendewasakan...

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...