10 February 2011

Nuffnang dan RM



SEBUT sahaja Nuffnang, mustahil jenama komuniti pengiklanan blog itu tidak dikenali oleh blogger-blogger di seluruh Malaysia. Tidak hairan juga, jenama itu amat dikenali di negara-negara jiran terutama Singapura, Australia dan Filipina.

Sumbangan Nuffnang amat besar buat komuniti blogger yang menjadikan jenama itu sebagai platform untuk menjana pendapatan sampingan yang lumayan. Tidak keterlaluan jika dikatakan pendapatan yang diperoleh daripada Nuffnang adakalanya melebihi pendapatan pekerjaan tetap.

Iklan-iklan daripada Nuffnang yang merupakan komuniti pengiklanan blog pertama Asia Pasifik kini boleh dilihat di lebih 100,000 buah blog oleh lebih tiga juta orang setiap hari.

"Kami menguruskan iklan-iklan yang akan dipaparkan dalam blog yang berdaftar tanpa mengenakan bayaran kepada blogger. Blogger hanya perlu menjalankan kerja editorial untuk iklan masing-masing bagi menjana pendapatan.

Menjana pendapatan

Selepas lima tahun menceburkan diri sebagai penulis blog, Mira Abu Bakar, 35, mempunyai pemerhati blog mencecah empat juta orang. Justeru, dia mampu menjana pendapatan sehingga RM100,000 setahun melalui iklan-iklan yang dipaparkan di blognya iaitu www.redmummy.com.

Mira yang mesra disapa sebagai Kak Red memberitahu, sebab utama dia mewujudkan blog tersebut bukanlah untuk mencari keuntungan kerana ia wujud sebelum Nuffnang beroperasi iaitu pada tahun 2005.

"Ketika mula-mula mendaftar dengan Nuffnang dan membuat editorial untuk iklan pertama, saya hanya memperoleh pendapatan RM90 tetapi jumlah itu meningkat sehingga RM5,000 sehingga RM10,000 sebulan kini.

"Pendapatan lumayan yang saya peroleh daripada blog menyebabkan saya menulis dengan serius dan memperuntukkan sehingga lima jam sehari untuk menguruskan blog saya. Tetapi saya juga dibantu suami yang bertindak sebagai jurugambar untuk menguruskan blog ini," katanya.

Katanya lagi, untuk berjaya melalui blog memerlukan usaha yang keras, sebagaimana dia yang sanggup duduk di hadapan komputer setiap malam bermula pukul 9 malam hingga 2 pagi semata-mata untuk memastikan blognya sentiasa update.

"Pendapatan yang saya peroleh kini tidak didapati dalam sekelip mata. Saya bermula dari bawah dan sesiapa sahaja perlu melalui jalan yang sama untuk berjaya. Jangan cuba meniru gaya blogger lain kerana ia tidak akan berjaya," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...