28 April 2010

Toi Sayu Tak Sempat Tatap Wajah Ibu

KUALA LUMPUR, 27 APRIL 2010: Di saat industri seni tempatan masih lagi dikejutkan dengan berita pemergian vokalis kumpulan Spin, Achik yang meninggal dunia akibat kemalangan di KM14 Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn Bhd (Lekas) pada 17 April 2010 yang lalu, bintang Akademi Fantasia (AF6), Khairul Nizam Baharom atau Toi, 33, pula menerima berita yang cukup menyedihkan.

Ibundanya tercintanya iaitu Hasnah Abdul Rahman, 61 telah meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, Johor kira-kira jam 5.30 pagi pada 24 April 2010, Sabtu lalu dan jenazahnya kemudian dikebumikan di tanah perkuburan Orang Islam, Cahaya Masai, Johor.

"Saya mendengar berita sedih ini ketika saya berada di Terengganu untuk menyertai sebuah persembahan nyanyian. Bagaimanapun, selepas mendapat tahu ibu saya sudah tiada pada jam 6. 30 pagi, saya terus bergegas balik ke Kuala Lumpur untuk membawa anak isteri ke kampung.

"Sesungguhnya, saya memang ada bercadang untuk pulang ke kampung pada Ahad (25 April 2010) selepas habis show di Terengganu untuk melawat arwah. Sayangnya belum sempat saya pulang, arwah sudah tiada.

"Tuhan saja yang tahu bagaimana hiba dan terkilannya perasaan saya ketika itu. AIr mata saya terus bercucuran kerana tidak sempat untuk berjumpa dengannya buat kali yang terakhir.

"Lebih terkilan apabila jenazah arwah dikebumikan sebelum sempat saya tiba. Anak dan isteri saya juga tak dapat berjumpa dengan arwah. Pun begitu, saya terima hakikat ini dan redha dengan pemergian arwah," kata Toi sewaktu dihubungi di kampungnya, petang semalam.

Menambah cerita sedihnya itu, Toi berkata, sebelum ini arwah ibunya telah disahkan menghidap penyakit stroke dan darah tinggi. Malah, murai.com.my difahamkan sejenis virus juga telah menyerang di bahagian buah pinggang arwah.

"Pada hujung bulan Mac lalu, saya ada berjumpa dengan arwah. Waktu itu, arwah dah ditahan di wad. Arwah juga tidak boleh bergerak dan hanya terbuka mata saja. Kalau mengikut perkiraan, sudah hampir sebulan arwah terlantar di hospital.

"Semasa arwah dalam hospital, hati saya tak tenteram dan asyik memikirkannya. Namun, ayah dan adik-beradik saya yang lain mengatakan keadaan arwah tidaklah teruk. Mereka juga suruh saya kerja seperti biasa.

"Walaupun sudah diberitahu begitu, saya masih lagi risau. Saya juga mengaku bahawa saya adalah anak yang paling rapat dengan arwah dan arwah juga menjadikan saya tempat untuk meluahkan masalah," jelasnya.

Mengakhiri perbualan, Toi yang masih lagi sebak mengatakan antara 8 adik-beradiknya, hanya dia seorang saja tidak dapat berjumpa arwah di saat akhir.

"Selain sedih, saya amat terkilan kerana tidak dapat membawa ibu pergi bercuti. Saya pun dapat rasa, sebelum dia pergi, arwah sememangnya amat merindui saya," kata Toi yang akan kembali ke ibu kota hari.

Facebook dan Youtube kena block?

UltraSurf

Kalau laman web seperti Facebook dan YouTube sahaja yang disekat, tak apalah. Namun sekatan adalah dibuat berdasarkan keyword, dan ia sangat menganggu anda dalam mencari maklumat di Internet.

Jadi bagi mengatasi masalah ini, anda boleh menggunakan UltraSurf. Anda cuma perlu lancarkan UltraSurf, dan ia akan membuka satu Internet Explorer khas untuk anda melayari Internet.

Jika anda ingin menggunakan UltraSurf dengan browser lain seperti Firefox, Chrome, atau Opera; anda cuma perlu menetapkan proxy bagi browser tersebut kepada – 127.0.0.1:9666

UltraSurf ini juga berguna sekiranya anda tidak dapat membuka laman web tertentu (blog di via.my contohnya) kerana menggunakan IP yang dikongsi (Celcom Broadband, DiGi Broadband, dsb)

Dapatkan UltraSurf di sini.

Achik Suami Saya Dunia Akhirat


Kelihatan balu Achik (Spin), Tasha seorang yang tabah mengharungi hidup selepas kematian suami dalam satu kemalangan Sabtu lalu. Bicaranya tersusun bercerita pengalaman saat-saat akhir bersama arwah suami yang pergi lebih dulu.

Namun siapa tahu kepayahan yang sedang dilaluinya bersama dua anak yang masih kecil dan tak mengerti kepayahannya. Dia tabah dan cekalkan hati kerana tidak mahu mengabaikan tanggungjawab yang ditinggalkan... anak.

Si kecil didukung yang besar dibuai.

Saya bersama empat teman wartawan, Tengku Khalidah (Mingguan Malaysia), Huzz (URTV) Shikin (Mangga) dan Joha (Pengarang Kanan Hiburan UKSB) menziarahi Tasha dan keluarga di Ampangan, Negeri Sembilan petang Khamis lalu kerana tidak sempat singgah pada hari pengkebumian.

"Siapa kata saya tak menangis... di dalam ini siapa yang tahu. Saya kena kuat kerana saya tahu arwah suami tak mahu saya menangis. Saya kena kuat untuk membesarkan anak-anak. Masih terngiang-ngiang di telinga saya akan kata-kata arwah.

Tahun depan mahu bekerja.

"Semasa anak sulung kami meninggal dunia dulu saya menangis dan arwah meminta saya tabah kerana katanya yang meninggal itu sudah pasti selesai dan aman di sana dan kita yang hidup ini tidak boleh menangis kerana ia tidak akan menggembirakan anak saya.

"Sekarang perkara sama berlaku ke atas suami saya dan saya tidak mahu dia kesedihan dengan perlakuan saya di sini," kata Tasha.

Apatah lagi pada hari terakhir bersama suami 14 April lalu, beliau berpesan agar sentiasa ingat bahawa Allah selalu ada untuk bersama-sama kita.

Ingin bekerja

Bagaimana kelangsungan hidup Tasha selepas ini? Wanita berusia 29 tahun ini nekad mahu kembali bekerja tahun depan.

"Sekarang suami baru meninggal... biarlah dulu. Kalau saya keluar bekerja bagaimana dengan anak-anak. Sudahlah mereka baru kehilangan ayah! Biarlah dulu.

"Saya rancang mahu bekerja semula tahun depan apabila anak-anak semakin besar. Sekarang mereka tak tahu apa-apa, malah anak saya yang kecil masih bertanya di mana bapanya. Itulah yang membuatkan air mata saya boleh tumpah.

"Semasa Achik meninggalkan rumah 14 April lalu anak saya yang kecil Sumaiyyah dalam buaian. Achik yang membuanya. Semasa dia keluar rumah Sumaiyah belum lelap. Apabila jaga dia cari di mama ayahnya. Pada hari kejadian, anak-anak dan saya bersiap untuk keluar dan menunggu Achik untuk membawa kami keluar. Tapi berita lain pula yang berlaku," kata Tasha.

Achik tak pernah menyusahkan

Kematian Achik ibarat mematahkan sayap Tasha kerana penyanyi lagu Bola Bola Api itu tidak pernah menyusahkannya sepanjang dia berkenalan dan sehingga ke akhir hayatnya.

"Achiklah suami saya dunia dan akhirat... saya tak akan jumpa lelaki sebaik Achik lagi. Dia tidak pernah menyusahkan saya barang sekali. Dia sanggup lakukan apa sahaja untuk menyenangkan saya. Semasa saya pantang bersalin, dialah yang membuat semua kerja di rumah.

"Sekarang ini keutamaan saya ialah menjaga anak-anak dia sebaik mungkin," kata Tasha.

kredit by Manggaonline

26 April 2010

Pejabat Facebook Sedang Dibina di Malaysia

Rakyat Malaysia memang suka menghabiskan masa lapang mereka di facebook. Tak kira lah masa lapang ke, masa duk kerja kat ofis ke, atau duduk di stesen bas ke, memang ada yang curi masa untuk membuka laman Facebook.

Percaya atau tidak, dikatakan rakyat Malaysia menghabiskan 2 jam masa pejabat mereka semata-mata bersengkang mata di Facebook.

Dikatakan Malaysia juga adalah antara negara yang mempunyai akaun Facebook yang paling ramai. Ternyata orang Malaysia suka bersosial di alam maya, suka tulis status, buat apa hari tu, apa program harian dan macam-macam lagi lah.

Mungkin ada yang tahu dan mungkin ada yang tak tahu, Facebook telah membina pejabat mereka sendiri di Malaysia ini. Baru-baru ini, Budiey ada tengok iklan di Facebook di mana syarikat laman sosial terbesar di dunia sekarang ni sedang mencari software enginere di Malaysia.

Dan kini, Budiey dapat tahu, pejabat Facebook cawangan Malaysia sedang dalam pembinaan. Di mana tu? Ya, office Facebook terletak di Neo Damansara, Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.

Tengok pada rekaan seni bina bangunan ni memang unik dan elegan. Tak ubah macam bangunan yang Budiey pernah tengok di Singapura.

Budiey rasa Budiey pernah tengok bangunan ni on da way balik dari Ikea, The Curve & Cathay Cineleisure. Korang mesti perasan bangunan ni sebab memang senang nak nampak.

Facebook, welcome to Malaysia!


kredit by Budiey

20 April 2010

Ceria sebelum maut

"RIAK wajahnya memang gembira sakan dan kemesraan pun nampak lain. Kalau sebelum ini, dia hanya berbual tetapi ketika sesi latihan bermula, Achik dilihat gembira tak terhingga. Arwah bukan saja berbual tetapi ada kalanya menyanyi dan berlawak.
"Melihatkan reaksi dirinya, timbul juga tanda tanya mengapa Achik gembira sangat hari itu (Sabtu lalu). Bahkan, kelakuan peliknya turut diakui Pengurus Promosi FMC, Amy yang ada sama ketika itu dan kami semua tak tahu apa punca sebenarnya.

"Malah, sewaktu membuat promo untuk Gah 1, saya meminta arwah dan Nana bercakap dalam dialek Negeri Sembilan. Ini kerana, saya melihat Achik bergurau dan menyanyi tak henti-henti dalam bahasa Negeri Sembilan, jadi elok juga dibuat promo.

"Justeru, terkejut juga saya apabila mendapat panggilan telefon memaklumkan Achik kemalangan dan maut. Memang tak sangka keceriaan dan kegembiraan berlebihan arwah dua jam sebelum kejadian adalah kenangan akhir yang ditinggalkan," kata Penerbit Gah 1, Serena Mohd Salleh.

Menurut Sarena, ia kerjasama kali ketiganya bersama arwah. Kali pertama, Achik diundang bersama Nana ketika program diadakan di Kuala Lipis, Pahang. Manakala, kali kedua ketika Ramadan lalu dan ketika itu Achik muncul secara solo.

Gah 1 yang dulunya dikenali sebagai Hits 1, disiarkan secara langsung dari Angkasapuri menerusi TV2 pada Sabtu, jam 4 petang. Dalam program carta lagu popular terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu, Achik dan Nana menjadi tamu undangan menyampaikan lagu duet mereka, Cari Ketenangan ciptaan Ajai.

Achik atau nama sebenar, Abdillah Murad Md Shari, maut dalam kemalangan di Kilometer 14.7 Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn Bhd (Lekas), jam 6.15 petang ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Seremban 2, Negeri Sembilan selepas selesai program itu.

Achik meninggalkan balu, HM Rosezaitul Suraini Wati Maarof, 29, atau Tasha dan dua anak perempuan, Putri Nursafiyaa, 2 dan Putri Nursumayya, 11 bulan.

Bagi pemain gitar kumpulan Spin, Wan Mohd Zuhairi Wan Mohd Zain atau Ayie, perubahan sikap pelik Achik sudah ditunjukkan arwah kira-kira sebulan lalu.
Kata pemuda berusia 27 tahun ini, arwah menghubunginya banyak kali.

"Lebih 10 kali arwah hubungi saya setiap hari. Maklumlah, waktu bekerja saya memang sibuk dan tak dapatlah hendak menjawab panggilannya. Tetapi, selagi saya tak jawab, dia akan telefon sehingga dapat dan hanya mahu bertanya khabar.

"Malah, arwah juga mahu bertemu dengan saya. Saya yang bertugas di Jabatan Penerangan sekarang amat sibuk untuk kempen pilihan raya Hulu Selangor tidak lama lagi. Jadi, susahlah untuk berjumpa dan arwah tetap hubungi saya.

"Petang sebelum kemalangan yang menimpanya, Achik menghubungi saya pada jam 5.15 petang. Dia tanya saya sibuk dan kalau ada masa lapang, dia mahu berjumpa. Namun, saya kata padanya sekarang memang tak boleh dan tiada masa.

"Kalau mahu jumpa, selepas kempen pilihan raya Hulu Selangor selesai. Apapun, saya terkejut apabila sejam kemudian, satu panggilan diterima memaklumkan Achik maut dalam nahas kereta. Susah saya nak percaya kerana baru sangat kami berbual," katanya.

Ayie berkata, tiga minggu lalu dia bertemu Achik. Malah, ujarnya dia bertanya kepada Achik kenapa selalu telefon, ada hal penting untuk dibincangkan.

Bagaimanapun, Achik hanya tunduk berdiam diri dan tak memberikan sebarang jawapan.

Menurutnya, memang pelik tingkah laku Achik ketika itu. Namun, Ayie beranggapan mungkin tiada apa-apa sebenarnya. Apapun, Tuhan lebih menyayanginya apabila Achik meninggalkan keluarga dan rakannya dalam sekelip mata.

Achik menyertai Spin yang ditubuhkan pada 1998 di bawah syarikat rakaman Fantasia Music City (FMC) dan menghasilkan empat album, Roda-roda Rindu, Litar Asmara, Spin 3 - Demi dan Keranamu.

Achik juga dikenali bersama pasangan duetnya, Siti Nordiana Alias atau Nana dan popular dengan lagu Paling Comel daripada album Istimewa Untukmu pada 2003 diikuti album Benang Emas (2005).

Selain lagu duet terbaru dengan Nana, Cari Ketenangan, Achik juga muncul dengan single terbaru bersama Spin, Engkau Yang Ku Cinta.

Komposer lagu Mengusung Rindu yang menaikkan nama Spin dalam album pertama mereka, Roda-Roda Rindu, Eddie Hamid pula berkata, dia terkejut mendapat berita mengenai kematian Achik. Ini kerana, arwah selalu juga berhubung dengannya.

"Walaupun kami sudah lama tak bekerjasama tetapi Achik tak pernah lupa kepada saya. Arwah selalu hubungi saya bertanya khabar dan kami berbual banyak perkara. Bagi saya, Achik ialah orang yang baik, mesra, ikut kata dan tak melawan.

"Sepanjang bekerja bersama, dia memberi komitmen yang baik dan tak membantah.
Apa saja yang disuruh, dia buat. Kalau OK pada saya sebagai komposer, OK jugalah dia. Jadi, saya macam tak percaya dia meninggal dunia pada usia masih muda," katanya.

Eddie berkata, terlalu cepat dia pergi namun, itulah suratan takdirnya.
Menurut Eddie, dia mendapat tahu mengenai kematian Achik pada jam 8 malam Sabtu lalu.

Jelasnya, ketika itu dia sibuk di studio menjalani penggambaran untuk muka depan kulit albumnya.

Simplysiti








Nana Hilang Teman Duet


PERTEMUAN menjadi penghujung pertemuan. Siapa sangka, pertemuan penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana Alias atau Nana, 26, dengan rakan duetnya, Achik, 27, berlokasikan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Angkasapuri, Kuala Lumpur 17 April lalu, menjadi momen penghujung mereka bersua mata.

Selang beberapa jam, Nana menerima perkhabaran buruk merentap jiwanya. Tidak pernah terduga, wajah Achik atau nama sebenarnya Adillah Murad Md. Shari yang baru ditatap, pergi buat selamanya menhgadap Tuhan.

Achik sebenarnya baru pulang menjayakan program Gah 1 di TV2 terbitan RTM sebagai tetamu jemputan bersama Nana. Mereka sempat melagukan single terbaru, Mencari Ketenangan kemudian Achik pula muncul solo dengan Engkau Yang Ku Cinta.

Tidak lama kemudian, berita pemergian Achik mula bertebaran lantas diketahui umum. Perginya anak kelahiran Felda Sendayan, Negeri Sembilan itu tanpa pesan. Tidak sempat mengucap salam perpisahan buat semua, kepada peminat, sahabat seperjuangan mahupun keluarga tercinta.

Tidak dinafikan, Nana menjadi antara insan paling terkesan dengan pemergian Achik yang sebelum ini memenangi gelaran Bintang Harapan Lelaki pada Festival Filem Malaysia ke-17 pada tahun 2004.

"Tidak sangka lawak saya dalam rakaman sebuah program baru-baru ini kononnya menyampah berduet dengan Achik menjadi petanda awal kami benar-benar berpisah setelah 14 tahun mengenali antara satu sama lain.

"Pemergian Achik cukup menyedihkan saya. Sekarang Achik betul-betul tiada lagi depan mata. Biarpun hadir beri penghormatan kepada Allahyarham di rumah dan tanah perkuburan, saya tetap tidak ada kekuatan menatap wajahnya untuk terakhir kali.

"Malah, sampai sekarang saya masih tidak percaya dia sudah meninggalkan kita buat selama-lamanya," jawab Nana dalam lontaran suara sarat hiba dan tersekat-sekat mengenang kembali kenangan bersahabat dengan Achik sejak berada di bangku sekolah menengah lagi.

Sambung Nana, Allahyarham merupakan seorang lelaki yang baik hati dan gemar bercanda. Kalau diikutkan jelas Nana, dia dan Achik cukup akrab sekali gus memahami kerenah dan perangai masing-masing.

"Sepanjang hidup ini, memang Achik sentiasa bersama saya kerana kami selalu berduet menjayakan pertunjukan pentas bersama. Malah, syarikat rakaman kami, FMC sering mengadakan pelbagai perancangan untuk kerjaya seni saya dan Achik.

"Ada waktu kami lama tidak berjumpa disebabkan kurangnya menyanyi bersama di atas satu pentas. Tetapi saya tidak pernah merungut kerana dalam apa-apa hal, suka mahupun tidak, saya dan Achik pasti akan bertemu semula.

"Kini bila Allahyarham sudah hilang di depan mata, barulah saya tahu bagaimana besar rasanya kehilangan dia," jelasnya yang tetap berhubung dengan Achik menerusi talian telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS) jika terlalu lama tidak berjumpa.

Sementara itu, penyanyi Erneelya Elyana Emrizal atau Elyana yang menggelarkan Allahyarham sebagai Abang Achik sejak lapan tahun lalu cukup terkejut apabila disahkan pihak FMC tentang kemalangan yang merenggut nyawa vokalis kumpulan Spin itu.

"Kali terakhir saya jumpa Allahyarham sewaktu menghadiri majlis buka puasa tahun lalu di Ampang. Kami bagaimanapun tidak sempat berborak walaupun duduk di meja sama. Saya sekadar berbicara dengan isteri Achik pada waktu itu.

"Berada di bawah label rekod sama, saya, Allahyarham, Siti Nordiana dan ramai lagi artis ada banyak kenangan manis bersama. Paling diingati apabila kami menaiki van sama ke luar daerah menjayakan persembahan.

"Achik merupakan insan paling banyak bercakap sepanjang perjalanan kami. Bahkan, dia tidak henti-henti buat lawak dan menghiburkan hati kami," ungkap Elyana yang memuji sikap merendah diri menebal dalam diri Achik biarpun dikurniakan populariti besar dan ramai peminat termasuk dari Singapura.

Pada waktu sama, gadis berusia 23 tahun itu sempat memberi kata perangsang kepada isteri Allahyarham: "Saya harap kakak terus kuat dan cekal menempuh dugaan berat ini. Yang pergi, tetap pergi. Kita harus optimis meneruskan hidup ini."

Komposer, Aidit Alfian yang pernah menciptakan lagu Paling Comel dan Tatasuria untuk Achik dan Nana berpendapat tidak sukar bekerjasama dengan Allahyarham semasa hayatnya masih dikandung badan.

"Achik cukup bersungguh-sungguh dan tidak malas sewaktu bekerja. Senang cakap, dia komited dengan apa yang dilakukan. Walaupun tidak rapat dengan Allahyarham, saya tahu dia ada karakter sangat disenangi oleh orang lain," terangnya yang tidak dapat menghadiri pengebumian Achik disebabkan seorang temannya juga meninggal dunia.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Janji Kita itu terbunuh apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dinaiki bersama seorang rakan terbabas lalu terbakar dan meletup di kilometer 14.7, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas), Seremban, Negeri Sembilan kelmarin.

Dalam kemalangan ngeri itu, individu pernah memegang watak utama menerusi filem Diari Romeo pada tahun 2003 mengalami kecederaan di kepala dan badan selepas kenderaannya terlanggar tiang papan tanda.

Achik bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian manakala kawan Achik, Mohd. Salihin Shah Mohd. Salleh, 29, hanya cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Jenazah Achik yang siap dimandi dan dikafankan kemudian dibawa pulang ke kediaman mertuanya di Taman Desa Ros, Ampangan sebelum disemadikan di Makam Tuan Haji Said, Seremban kira-kira pukul 1 petang kelmarin.

Achik meninggalkan seorang isteri, H.M. Rose Zaitul Suriani Wati Maarof, 29, dan dua cahaya mata, Sofia, 3, dan Safia 10 bulan. Allahyarham sebelum ini punya seorang cahaya mata sulung, Puteri Rania. Tetapi bayi perempuan itu meninggal dunia pada tahun 2007 akibat demam panas.

Disahut panggilan Ilahi tanpa mengundang banyak keresahan keluarga, peminat dan rakan-rakan, Achik sekelip mata pergi meninggalkan semua. Sepantas kilat nafasnya diambil semula oleh Allah. Biarpun pemergiannya diratapi dan ditangisi, hakikatnya, Achik pergi dan tidak kembali lagi.

Sedih bila dapat tau Achik telah pergi buat selama-lamanya..

Al-Fatihah...........

Update Kembali...

Salam uollss..rindu kat blog ni..Dah lama x update..Asyik melayani Facebook je..Al-Maklumlah ramai pulak member sekolah yang join..Seronok dapat chatting yang diorg semua...Terasa cam kat sekolah je..Hmmm Bila nak jumpa korang semua ye...??Rindu sangat..Insyaallah aku akan update selalu blog aku ni..Harap korang rajin le singgah kat blog aku ni...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...