21 July 2010

Promosi Bandar Ayam Kampung Kurang Sokongan

Kerajaan Pahang kesal apabila sebahagian peniaga restoran dan kedai makan kurang memberi kerjasama dalam mempromosikan Maran sebagai 'Bandar Ayam Kampung.'

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak menegaskan, kurangnya sokongan daripada pihak terbabit menyebabkan usaha promosi tersebut tidak mencapai sasaran.

''Sejak memperkenalkan Maran sebagai 'Bandar Ayam Kampung' tahun lalu, orang ramai termasuk dari luar daerah ini sangat berminat untuk ke sini menikmati pelbagai resipi masakan ayam kampung."

''Bagaimanapun, ada restoran tidak menyediakan menu masakan ayam kampung manakala sebahagian yang lain tidak konsisten menyebabkan imej Maran sebagai Bandar Ayam Kampung semakin malap.

''Saya sendiri banyak menerima aduan daripada penggemar ayam kampung mengenai restoran atau kedai makan di sini yang tidak menyediakan masakan ayam kampung,'' katanya.

Beliau berkata demikian sempena program Juara Rakyat Mempromosi Masakan Ayam Kampung dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) peringkat daerah di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin dan Pegawai Daerah Maran, Datuk Fadzilla Salleh.

Tan Mohd. Aminuddin menegaskan, pengusaha restoran dan kedai makan di daerah ini perlu merebut peluang itu untuk menyediakan masakan ayam kampung dalam menu masing-masing sejajar dengan imej bandar ini.

''Ayam kampung boleh dipelbagaikan masakan seperti sup, ayam percik tempoyak, paprik ayam kampung, rendang kuning dan ayam kampung rendang," jelasnya.

Bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi, katanya, pengusaha kedai makan dan restoran perlu menjalin hubungan erat dengan pembekal atau penternak ayam kampung.

''Jika sesebuah restoran atau kedai makan gagal menyediakan masakan ayam kampung, ia menyebabkan pelanggan akan berasa tertipu dengan jolokan Bandar Ayam Kampung itu," katanya.

Jika keadaan itu berterusan, katanya, pelanggan tidak lagi datang ke bandar ini pada masa akan datang.

''Kerajaan negeri mahu supaya jolokan sebagai Bandar Ayam Kampung melekat di hati penduduk sebagaimana bandar Temerloh yang sinonim dengan panggilan Bandar Ikan Patin," katanya.

''Promosi Maran Bandar Ayam Kampung fasa kedua ini diharap menjadi pemangkin kepada peniaga dan pembekal meningkatkan usaha mengukuhkan lagi kedudukan sebagai bandar yang menyediakan menu ayam kampung,'' katanya.

Tan Mohd. Aminuddin juga mahu pengusaha kedai makan menyediakan menu yang berasaskan inovasi dan kreativiti supaya ia menjadi kegemaran ramai dan boleh dipromosi hingga ke peringkat global.

Menurutnya, strategi mewujudkan Bandar Ayam Kampung antara lain bertujuan menggalakkan pelancong lebih kerap datang ke sini menikmati masakan ayam kampung sekali gus menjana pendapatan penduduk.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...