25 June 2010

Kecur air liur lihat makanan laut segar di Tanjung Api


PEMANDANGAN bot mudik pada waktu petang di Sungai Kuantan sungguh mendamaikan.


JIKA bertandang ke Kuantan, tidak lengkap rasanya jika terlepas daripada menikmati angin nyaman dan pemandangan indah di Tanjung Api.

Lokasinya hanya tiga kilometer dari bandar Kuantan.

Jika menyusur Jalan Teluk Sisek menghala Teluk Chempedak, perhatikan papan tanda di sebelah kanan jalan dan pasti tidak sesat untuk sampai ke Tanjung Api.

Bukan sahaja untuk berekreasi, menu hasil laut segar juga banyak dijual di gerai-gerai di sekitar Pasar Tanjung Api.

Sebut sahaja jenis ikan, udang atau ketam yang ingin dinikmati.

Kecur air liur bila melihat udang lipan karang, udang galah, ketam batu sepit merah, ibu tenggiri, terubuk dan sotong bunga besar yang dipanggang oleh peniaga di situ.

Paling istimewa, menu ikan panggang yang disalut tempoyak dan ketam bakar yang direndam terlebih dahulu dengan sos masam manis.

Dicicah pula dengan sos kicap khas yang begitu popular di sini terlalu sukar untuk diketepikan.

Rasa segar dan manis aslinya yang diadun dengan pelbagai ramuan tulen terpilih sudah tentu tidak menghampakan.

Harga pula hanya RM30 hingga RM50 untuk hidangan sekeluarga.

Menurut seorang penduduk tempatan, Farawahida Mustaffa, 23, Pasar Tanjung Api sememangnya menjadi pilihan pengunjung yang bertandang ke Kuantan.

"Rugi kalau tak rasa makanan laut segar di sini. Isi ikan, udang atau ketam masih segar, rasanya pula manis. Boleh kempunan kalau tak cuba," katanya.

Sambil makan, lihatlah pemandangan bot-bot nelayan yang mudik di Sungai Kuantan dan berlabuh di jeti berdekatan Pasar Tanjung Api.

Selepas menjamu selera, rugi pula kalau tidak bersiar-siar di Taman Gelora yang terletak hanya satu kilometer dari Tanjung Api.

Kepada mereka yang rindukan pemandangan indah dan udara nyaman, Taman Gelora menjanjikan pesona yang diinginkan.

Desiran angin yang membelai pepohon rhu membuatkan minda berasa lebih segar apatah lagi taman ini berhadapan dengan laut yang sentiasa menghembus bayu segar.

Tidak hairanlah jika ia sentiasa dikunjungi pelawat yang mendambakan keindahannya.

Para pengunjung bukan sekadar mengambil angin, malah ada yang datang untuk bersenam dan berjoging.

Di tengah-tengah taman ini pula terdapat dua tasik buatan yang biru kehijauan lagi mengasyikkan iaitu Tasik Teratai dan Tasik Gelora.

Teruja dengan keindahannya?

Cubalah mengayuh 'bot-sikal' mengelilingi tasik. Sambil itu, bermainlah dengan ikan-ikan yang timbul di permukaan air.

Selepas penat beriadah dan makan angin di sini, singgah sebentar di warung nasi minyak Haji Yasir dan warung nasi dagang Taman Gelora yang sangat popular.

Namun, diingatkan supaya jangan terlambat kerana ia hanya dibuka sehingga pukul 12 tengah hari sahaja.

Dipendekkan cerita, kalau bertamu di Kuantan, jangan lupa masukkan Tanjung Api dalam senarai yang wajib dilawati.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...