28 April 2010

Toi Sayu Tak Sempat Tatap Wajah Ibu

KUALA LUMPUR, 27 APRIL 2010: Di saat industri seni tempatan masih lagi dikejutkan dengan berita pemergian vokalis kumpulan Spin, Achik yang meninggal dunia akibat kemalangan di KM14 Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn Bhd (Lekas) pada 17 April 2010 yang lalu, bintang Akademi Fantasia (AF6), Khairul Nizam Baharom atau Toi, 33, pula menerima berita yang cukup menyedihkan.

Ibundanya tercintanya iaitu Hasnah Abdul Rahman, 61 telah meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, Johor kira-kira jam 5.30 pagi pada 24 April 2010, Sabtu lalu dan jenazahnya kemudian dikebumikan di tanah perkuburan Orang Islam, Cahaya Masai, Johor.

"Saya mendengar berita sedih ini ketika saya berada di Terengganu untuk menyertai sebuah persembahan nyanyian. Bagaimanapun, selepas mendapat tahu ibu saya sudah tiada pada jam 6. 30 pagi, saya terus bergegas balik ke Kuala Lumpur untuk membawa anak isteri ke kampung.

"Sesungguhnya, saya memang ada bercadang untuk pulang ke kampung pada Ahad (25 April 2010) selepas habis show di Terengganu untuk melawat arwah. Sayangnya belum sempat saya pulang, arwah sudah tiada.

"Tuhan saja yang tahu bagaimana hiba dan terkilannya perasaan saya ketika itu. AIr mata saya terus bercucuran kerana tidak sempat untuk berjumpa dengannya buat kali yang terakhir.

"Lebih terkilan apabila jenazah arwah dikebumikan sebelum sempat saya tiba. Anak dan isteri saya juga tak dapat berjumpa dengan arwah. Pun begitu, saya terima hakikat ini dan redha dengan pemergian arwah," kata Toi sewaktu dihubungi di kampungnya, petang semalam.

Menambah cerita sedihnya itu, Toi berkata, sebelum ini arwah ibunya telah disahkan menghidap penyakit stroke dan darah tinggi. Malah, murai.com.my difahamkan sejenis virus juga telah menyerang di bahagian buah pinggang arwah.

"Pada hujung bulan Mac lalu, saya ada berjumpa dengan arwah. Waktu itu, arwah dah ditahan di wad. Arwah juga tidak boleh bergerak dan hanya terbuka mata saja. Kalau mengikut perkiraan, sudah hampir sebulan arwah terlantar di hospital.

"Semasa arwah dalam hospital, hati saya tak tenteram dan asyik memikirkannya. Namun, ayah dan adik-beradik saya yang lain mengatakan keadaan arwah tidaklah teruk. Mereka juga suruh saya kerja seperti biasa.

"Walaupun sudah diberitahu begitu, saya masih lagi risau. Saya juga mengaku bahawa saya adalah anak yang paling rapat dengan arwah dan arwah juga menjadikan saya tempat untuk meluahkan masalah," jelasnya.

Mengakhiri perbualan, Toi yang masih lagi sebak mengatakan antara 8 adik-beradiknya, hanya dia seorang saja tidak dapat berjumpa arwah di saat akhir.

"Selain sedih, saya amat terkilan kerana tidak dapat membawa ibu pergi bercuti. Saya pun dapat rasa, sebelum dia pergi, arwah sememangnya amat merindui saya," kata Toi yang akan kembali ke ibu kota hari.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...